04.08.2016 - Pelancongan Terokai Pulau-Pulau Di Johor






JOHOR


Seramai 30 wakil media daripada Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) akan terlibat dalam program Lawatan Media anjuran bersama TRAM, Tourism Johor dan Kerajaan Negeri Johor bermula dari 6-8 Ogos 2016 ini. Program yang julung kali diadakan ini diadakan bagi mempromosikan lagi destinasi pelancongan di negeri Johor khususnya di pulau-pulau yang terdapat di daerah Mersing.

Kepulauan Mersing menawarkan pengalaman percutian yang ternyata berbeza dengan panorama indah seumpama kepulauan Maldive. Keindahan pulau yang masih belum ‘terusik’ ini menjadikan pulau-pulau di sini destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mencari ketenangan bersama rakan-rakan mahupun keluarga.

Menerusi program tiga hari dua malam itu wakil media akan dibawa menjelajah beberapa pulau-pulau peranginan seperti Pulau Rawa, Pulau Besar dan Pulau Tengah.  Program tersebut juga akan turut disertai oleh YB. Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan , Perdagangan & Kepenggunaan Negeri Johor , Pegawai Daerah dan YDP Mersing.

Menurut Presiden Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM), Azlie Halim, program ini sesungguhnya satu usaha murni pihak Kerajaan Negeri Johor untuk mempromosikan produk serta destinasi pelancongan di negeri Johor. Kita percaya dengan penglibatan wakil media dari Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia ini kita akan dapat membantu memberikan publisiti kepada destinasi pelancongan yang ada di Johor menerusi saluran media cetak, elektronik dan media sosial secara lebih efektif.  Apa yang pasti usaha ini secara tidak langsung dapat memberikan satu pengalaman baru buat wakil media sekali gus menyemarakkan kembali industri pelancongan di negeri Johor khususnya di daerah Mersing,” kata Azlie Halim.

Jalinan kerjasama antara Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor menerusi Tourism Johor ini selaras dengan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang melibatkan pihak NGO, Media dan Jabatan Kerajaan dalam usaha menjayakan aspirasi pelancongan negara.

Comments

  1. Pulau-pulau disekitar perairan Johor banyak yang cantik.

    ReplyDelete

Post a Comment